Saturday, October 9, 2010

PENULISAN ESEI: Pandangan Terhadap Pendidikan Seni Visual Di Sekolah

Kurikulum Pendidikan Seni Visual sering menerima perubahan demi perubahan. Sebagai seorang pendidik, guru seharusnya berupaya untuk menilai atau memeriksa semula bidang-bidang seni tertentu supaya sentiasa  selari dengan keperluan semasa, lebih-lebih lagi jika kita berupaya menilai semula pemikiran kita terhadap kemungkinan apa yang kita ajar nanti ( Mohd Johari Ab Hamid et al, 2006:22). Pemikiran itu bersangkutan dengan kepercayaan, apakah fungsi seni dalam pendidikan pelajar dan bagaimana seni itu perlu diajar? Kita sering melihat bahawa pengajaran Pendidikan Seni Visual itu hanya tertumpu kepada bekerja dengan alat dan bahan sahaja. Kita juga mempersoalkan peranan guru hanya sebagai penyedia bahan dan sumber tetapi kurang mengajar. Umum mengetahui bahawa melalui subjek Pendidikan Seni Visual,  banyak yang boleh disediakan untuk perkembangan pelajar. Kita juga sedar bahawa pembelajaran artistik itu itu bukan setakat berkebolehan menggunakan alat dan bahan semata-mata, tetapi kita membuat rumusan bahawa peranan guru lebih jauh daripada itu. Pendidikan Seni Visual bukan hanya sebagai pembekal alat, bahan dan sumber tetapi juga turut menstabilkan emosi para pelajarnya. Contohnya, melalui ilmu yang disampaikan oleh pensyarah Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) kepada pelajar-pelajarnya, diharap mereka akan mengaplikasikan ilmu tersebut di sekolah-sekolah kelak. Tetapi sejauh manakah ilmu yang telah dikonseptualkan itu akan dilaksanakan di peringkat sekolah? Berbanding dengan sambutan masyarakat sekeliling terhadap mata pelajaran lain yang lebih diutamakan seperti Matematik dan Sains. Malangnya, mata pelajaran Pendidikan Seni ini diletakkan sebagai pelajaran yang tidak berkepentingan.
            Keadaan ini memberi tekanan kepada guru bagi merealisasikan konseptual pendidikan seni yang sebenarnya. Lebih-lebih lagi bahan-bahan dan sumber sokongan untuk melaksanakan pelajaran ini secara yang lebih berkesan memerlukan sumbangan dan peruntukan yang agak tinggi berbanding dengan mata pelajaran kemanusiaan dan sains yang lain. Persoalannya, sejauh manakah sumbangan pihak swasta atau badan bukan kerajaan (NGO) lain sanggup membantu pelajar dan  sekolah bagi menjayakan perlaksanaan mata pelajaran ini. Di negara kita usaha begini belum diusahakan secara menyeluruh. Usaha guru untuk memastikan keistimewaan mata pelajaran ini tinggal usaha sahaja jikalau tidak mendapat sokongan sama ada dalam bentuk moral atau kewangan daripada pihak-pihak berkenaan.
            Kita percaya bahawa dengan perkembangan dunia semasa dan perubahan keperluan dalam pembangunan negara bangsa kita, sumbangan mata pelajaran Pendidikan Seni Visual adalah relevan dengan keperluan itu. Masyarakat seharusnya mempunyai pemikiran bahawa memberi pendidikan kepada anak-anak mereka bukan hanya setakat duduk belajar menerima ilmu dan kemahiran Matematik, Sains dan Teknologi sahaja. Pendidikan yang harus diterima oleh pelajar adalah bertujuan untuk mengembangkan potensi menyeluruh anak-anak mereka secara optimum bukan sahaja menjurus kepada mata pelajaran utama, juga melalui mata pelajaran pelengkap yang lain termasuk mata pelajaran yang berbentuk kesenian.
Dalam sistem persekolahan kita, Pendidikan Seni Visual adalah mata pelajaran wajib daripada tahun satu sekolah rendah hingga ke tingkatan tiga sekolah menengah. Ia juga merupakan mata pelajaran elektif untuk sekolah menengah atasan. Sukatan pelajaran Pendidikan Seni Visual telah disemak semula dan merupakan yang terbaik untuk dilaksanakan di sekolah-sekolah. Ia mampu memberi persediaan awal untuk syarat masuk ke pusat pengajian tinggi khususnya dalam bidang-bidang yang relevan seperti bidang yang memerlukan kemahiran melukis dan kreativiti yang tinggi iaitu seperti seni binaan, pereka dan sebagainya. Banyak universiti telah menawarkan kursus-kursus yang memerlukan kemahiran dalam bidang seni ini.

Sebenarnya, dalam dunia pekerjaan banyak bidang yang memerlukan kemahiran dalam seni ini apatah lagi jika dicantumkan kebolehan pelajar dengan mata pelajaran Sains dan Teknologi. Seni, Sains dan Teknologi adalah gabungan yang wujud dalam kehidupan era moden kini. Malangnya, ada pihak yang tidak pernah peka tentang perubahan paradigma ini sengaja mengenepikan mata pelajaran ini untuk pelajar-pelajar aliran sains. Dasar yang diamalkan sekarang ialah konsep sijil terbuka. Malah daripada hasil kajian menunjukkan banyak sekolah menengah yang tidak memasukkan mata pelajaran Pendidikan Seni Visual dalam jadual waktu rasmi atas alasan tidak cukup waktu belajar. Pelajar-pelajar yang membuat pilihan Pendidikan Seni Visual sebagai elektif, terpaksa belajar sendiri di luar waktu tanpa diurus secara rasmi, disamping bergantung kepada kesanggupan guru untuk mengajar lebih masa dan selalunya pada waktu petang.
            Kita juga bersetuju Pendidikan Seni Visual ini merupakan sebahagian kecil daripada mata pelajaran yang memberi peluang kepada pelajar mengeksploitasi emosinya sebagai sebahagian daripada sumber kandungan yang menggalakkan keupayaan imaginasi. Pendidikan senilah yang memberi peluang kepada pelajar sebagai tempat pelarian sementara daripada kurikulum yang penuh dengan peraturan yang ditetapkan oleh pihak berkuasa, tempat yang didominasi dengan keriuhan kata-kata, huruf dan angka. Menerusi pendidikan seni juga pelajar digalakkan meneroka visi peribadinya melalui kerjanya yang merupakan coretan peribadi. Sekolah penuh dengan peraturan-peraturan yang ditentukan oleh kurikulumnya, yang merupakan arahan guru. Ia merupakan satu sahaja jalan penyelesaian bagi sesuatu persoalan. Dengan hanya satu jawapan yang betul bagi setiap soalan. Apa yang sangat diperlukan oleh pelajar ialah ruang, tempat dan yang lebih diperlukan lagi adalah kebenaran daripada pihak yang lebih berkuasa membenarkan mereka membuat sesuatu mengikut rentak mereka, membenarkan mereka menghadapi cabaran, mengikut tempoh dan menghadapi erti kegagalan ( Mohd. Johari Ab Hamid et al, 2006:23).  
Bibliografi  

Mohd. Johari Abd Hamid et al. (2006). Metodologi Pendidikan Seni Visual . Tanjung Malim . Universiti Pendidikan Sultan Idris.
roskangjailani@gmail.com

No comments:

Post a Comment