Sunday, October 24, 2010

ALAM SEMULAJADI DARI KACA MATA PENULIS

Alam semula jadi telah menjadi sumber inspirasi seniman sejak zaman berzaman. Kesempurnaan ciptaan itu dihayati dan dipersembahkan menerusi pelbagai persepsi dan pendekatan yang berbeza mengikut agama, bangsa, kebudayaan dan kepercayaan. Tugas seniman sememangnya menghayati dan menganalisis sesuatu seperti alam lalu menterjemahnya mengikut kepekaan, kepakaran dan pendekatan masing-masing. Justeru itu alam semulajadi menjadi inspirasi seniman yang berterusan.
            Pameran Terbuka 1991 di Balai Lukis Negara yang bertema “Warisan Alam Semulajadi” melukiskan kepekaan pelukis terhadap alam dalam beberapa pendekatan. Dua pendekatan utama dapat dihayati. Pertama, pelukis menggambarkan keindahan alam semulajadi menerusi landskap yang natural dan mujarad. Kedua, pelukis merakam perhubungan warisan alam semula jadi dengan sikap, sifat, serta perbuatan manusia yang positif dan yang negatif. Kebaikan dan keburukan manusia mempengaruhi keadaan warisan alam semulajadi.
            Tema landskap yang menggambarkan keindahan alam semulajadi telah mendapat tempat dalam karya pelukis tempatan sejak dekad 1930-an lagi, khususnya dalam karya pelukis cat air Pulau Pinang. Pada waktu itu, pengolahan karya banyak berdasarkan tradisi seni Barat dan catan landskap Cina di samping kebolehan semulajadi pelukis Abdullah Ariff menangkap kesan cahaya dan bayangan dalam landskap yang melukiskan kepintaran dan kefahamannya terhadap prinsip seni lukis. Sementara itu, perhubungan karya Yong Mun Sen, Tay Hooi Keat, Kuo Ju Ping dan Khaw Sia dengan tradisi kaligrafi dan catan landskap Cina dapat dihayati dengan jelas menerusi kesontanan sapuan berus masing-masing.
Era merakam alam yang agak natural itu berubah mengikut zaman dan kemajuan. Pendidikan mengubah persepsi pelukis terhadap alam. Landskap mujarad dan separa-mujarad lahir pada sekitar dekad-dekad 1950-an, 1960-an dan berkekalan hingga ke hari ini. Karya Khoo Sui Hoe “ Banjir Hingga Pokok Kelapa” atau “Pemandangan Pohon” oleh Tay Hooi Keat (1959), “Sawah Padi” oleh Yeoh Jin Leng (1963), “ Pemandangan 3” oleh Abdul Latif Mohidin (1967), dan “Siri Terengganu Bil.9” oleh Joseph Tan (1980) melukiskan alam dalam pengolahan yang digayakan. Cat minyak pula menggantikan cat air sebagai bahan dalam kebanyakkan karya.
Kedua-dua pendekatan tersebut juga dapat dihayati dalam beberapa buah karya di Pameran Terbuka 1991 itu. Karya cat air Abdul Ghani Ahmad berjudul “ Warisan Alam Siri 3”, “Bertam” oleh Md. Sani Md. Dom, “Flora dan Fauna”, “Klang Gate” oleh Shamsuddin Mansor, “Pond and Beauty” oleh Wong Seng Yin, dan “ Dari Puncak Gunung Jerai 11” oleh Rohizad Shaari mengembalikan ingatan nostalgic kita kepada keindahan karya para pelukis cat air Pulau Pinang seperti “ Sinar Mentari di Denai Hutan”(1956) oleh Abdullah Ariff. Semangat, cinta dan kasih terhadap keindahan alam semulajadi tempatan meresap ke dalam jiwa dan sanubari masing-masing.
Sementara itu, pengolahan yang lebih mirip pada tradisi catan landskap Cina dihayati dalam karya yang berjudul “ Longevity Nature in Peach” oleh Grace Tan siew Leng dan “ Hill  Top Scane” oleh Tang Tuck Kan. Karya Grace yang bersifat monumental merakamkan keharmonian flora dan fauna, manakala Tang Tuck Kan pula mendekati alam semulajadi menerusi kaedah ala catan. Ciri-ciri yang ketara ialah kespontanan sapuan berusnya dan pemilihan warna yang membentuk ruang dengan kaedah perspektif atmosfera, serta pengolahan komposisi satu sudut yang membiarkan ruang kosong menguasai sebahagian karya. Pengolahan komposisi yang seperti inilah yang dipraktikkan oleh pelukis-pelukis besar Dinasti Sung selatan (1128-1279) seperti Ma Lin dalam karya mereka yang berkembang kea rah romantik. Yang berbeza dari segi bentuk, karya Tang Tuck Kan dipersembahkan berbingkai mengikut tradisi galeri dan catan Barat. Kespontanan sapuan berus dalam karya Grace dan Tang Tuck Kan ini ternyata dapat dihubungkan dengan tradisi kaligrafi dan catan landskap Cina, karya yang dianggap menjadi pembuka jalan kepada penghayatan alam yang lebih berkesan.
Di samping catan dan karya yang berbentuk dua dimensi yang lain, penglibatan pemahat arca dalam Pameran Terbuka 1991 itu juga tidak menghampakan. Pameran tersebut menggambarkan kepekaan pelukis terhadap warisan alam semulajadi menerusi dokumentasi keindahannya dan kesan perbuatan manusia terhadapnya. Dari segi stail, ternyata beberapa buah karya dapat diletakkan sebagai satu kesinambungan gaya seni lukis moden tempatan, khususnya yang merujuk tradisi cat air Pulau Pinang dan kecenderungan terhadap stail abstrak ekspresionisme. Sementara itu, penyertaan yang menampilkan pengolahan bahan yang dan teknik fotografi ternyata amat sedikit. Dunia seni lukis moden tempatan masih dikuasai oleh karya dengan bahan yang konvensional.         
    
Bibliografi
Muliadi Mahamood (1995). Seni Lukis Dalam Peristiwa. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka   
        Kementerian Pendidikan Malaysia

No comments:

Post a Comment