Sunday, October 24, 2010

KESENIAN

Kesenian atau seni boleh dibahagikan kepada 4 bahagian iaitu :
1.       Seni Suara
  1. Seni Gerak
  2. Seni Rupa
  3. Permainan Tradisional
Menurut Kamus Dewan Seni didefinisikan sebagai karya (sajak, lukisan, muzik, dll) yang dicipta dengan bakat (kecekapan), hasil daripada sesuatu ciptaan. Manakala kesenian bermaksud perihal seni, yang berkaitan dengan seni, keindahan (kehalusan). Kesenian ini menjadi tunjang kepada kebudayaan masyarakat Melayu sejak turun temurun lagi. Dengan adanya kesenian seperti ini identiti masyarakat Melayu lebih terserlah dan dikenali ramai. Kementerian Kebudayaan dan Kesenian telah mengambil pebagai inisiatif bagi memantapkan dan memperkembangkan lagi kebudayaan masyarakat Melayu. Kesenian bangsa Melayu telah diakui dunia sebagai unik dan menarik.

1.      SENI SUARA
 Kesenian mengikut definisi Herberth Read adalah suatu usaha untuk mencipta bentuk-bentuk yang menyenangkan dan seni itu dijalankan pula daripada estetika.
Dalam seni suara kesenian Melayu dapat dibahagikan kepada dua bahagian iaitu :
  • Seni Vokal
Seni Vokal lahir daripada pita suara yang boleh memberi kepuasan kepada pendengar. Setiap seni vokal itu berbeza mengikut masyarakat. Dalam masyarakat Melayu terdapat seni vokal tanpa muzik dan seni vokal yang bergabung dengan muzik.
Seni Vokal tanpa muzik yang sering dinyanyikan dalam masyarakat Melayu ialah :
  1. Endoi atau dendang Siti Fatimah dan ulit anak
Endoi atau dendang Siti Fatimah terkenal di negeri Perak, Selangor dan Negeri Sembilan manakala ulit anak di negeri Terengganu. Biasanya dilagukan dalam upacara berbentuk keislaman seperti menyambut kelahiran anak atau upacara bercukur kepala.
  1. Nazam atau naban
Berasal daripada Terengganu, Pahang dan Melaka. Dikarang dalam Bahasa Melayu yang mengisahkan riwayat Nabi Muhamad, para Nabi Allah dan para sahabat Rasul. Persembahan yang tidak disertai alat muzik ini memerlukan kemerduan suara.
  1. Marhaban, nasyid dan qasidah
 Merupakan nyanyian keagamaan. Marhaban ialah pujian kepada Nabi Muhamad dan dinyanyikan dalam Bahasa Arab. Nasyid ialah nyanyian dan berbentuk dakwah Islam iaitu terdapat dalam senikata Arab dan Melayu. Qasidah biasanya dinyanyikan dalam bahasa Arab yang mengandungi puisi memuji Nabi Muhamad dan para sahabat.
  • Lagu yang digabungkan dengan muzik
  1. Dikir
Dikir dikenali dengan pelbagai nama seperti dikir maulud, dikir Pahang, dikir Rebana dan dikir berarak. Dikir-dikir ini dilagukan dengan iringan pukulan rebana atau kompang.
  1. Hadrah
Sejenis nyanyian yang berasal daripada dikir. Dinyanyikan dengan iringan sejenis alat bercorak rebana yang hampir sama dengan kompang.
  1. Beduan
Sejenis naynyian rakyat negeri Perlis dan diringi dengan bunyi-bunyian gendang. Beduan mempunyai persamaan dengan bentuk zikir dan burdah yang diringi dengan pukulan rebana.
  1. Dikir barat
Sejenis nyayian yang terkenal dinegeri Kelantan. Nyanyiannya diringan dengan pukulan rebana.
  1. Ghazal
Sejenis puisi Arab yang berbentuk percintaan. Ghazal dinyanyikan dengan iringan alat seperti syeringgi, sitar, harmonium dan tabla.  
  • Seni Muzik
Menurut Kamus Dewan Muzik didefinisikan sebagai gubahan bunyi yang menghasilkan bentuk dan irama yang indah dan menyenangkan, bunyi-bunyian. Muzik adalah satu daya tarikan kepada manusia. Ahli-ahli falsafah berpendapat bahawa setiap manusia mempunyai minat terhadap muzik. Keadaan ini jelas dilihat kepada reaksi manusia terhadap bunyi-bunyian yang sudah menjadi kegemaran sejak manusia dilahirkan. Muzik sebenarnya tidak dapat dilihat dan dinikmati dengan pancaindera penglihatan, tetapi dirasai dengan hati atau perasaan.  
  • Muzik Tradisi Warisan Istana
Dalam masyarakat terdapat dua kelompok masyarakat iaitu :
  • Tradisi tinggi (great tradition)
  • Tradisi rendah (little tardition)
Kumpulan masyarakat tradisi tinggi terdiri daripada golongan bangsawan yang merupakan golongan kelas pemerintah yang menjadikan istana sebagai pusat kebudayaan. Raja-raja menubuhkan kumpulan-kumpulan muzik di istana dan latihan dianjurkan untuk meningkatkan mutu persembahannya. Muzik nobat menjadi satu pasukan muzik istana sejak abab ke 15 lagi. Muzik ini dimainkan dalam upacara pertabalan, kematian raja dan upacara mengadap oleh para pembesar di hadapan balairung. Selain nobat muzik yang berkembang melalui tradisi istana di Malaysia ialah gamelan. Gamelan yang terkenal di Tanah Melayu berasal dari kerajaan Riau-Lingga dan Johor. Alat-alat muzik yang digunakan dalam gamelan termasuklah saron, bonang, kerompong, gendang dan gong.
  • Tradisi Muzik Rakyat
Disamping tradisi tinggi yang berpusat diistana, terdapat pula tradisi rendah dikalangan rakyat biasa yang terdir daripada kaum petani dan nelayan. Perkembangan seni muzik diperingkat masyarakat tradisi rendah lahir daripada minat anggota masyarakat itu sendiri. Sebahagian daripada mereka mewarisi keahlian bermain alat-alat muzik itu daripada keluarganya. Alat-alat muzik ini diperbuat daripada bahan-bahan yang diperolehi disekeliling mereka seperti buluh, kayu, kulit binatang dan lain-lain. Muzik rebana merupakan sejenis alat muzik yang berkembang dalam masyarakat Melayu tradisional. Rebana dimainkan dalam persembahan yang berunsur keislaman seperti dikir, ratib, nazam, hadrah, rodat, maulut dan lain-lain.  
  • Tradisi Muzik Melayu yang lain
Tradisi muzik melayu yang lain seperti muzik makyong dan gendang keling diwarisi dari zaman pra-Islam. Gendang keling dan Mek Mulung di Kedah dan Perlis menggunakan alat muzik seperti Gong, rebab, gendang dan serunai. Di samping berbagai-bagai jenis muzik yang dinyatakan ,muzik wayang kulit, kuda kepang dan ghazal juga merupakan muzik melayu tradisional dari zaman silam. Muzik wayang kulit mengandungi alat muzik seperti gamelan dan mempunyai hubungan dengan tradisi dan kepercayaan masyarakat pribumi. Ghazal pula berasal dari pengaruh Arab Parsi, yang dibawa melalui India sebelum berkembang di alam melayu. Muzik melayu asli ialah muzik yang menyertai tarian ronggeng atau joget yang mempunyai hubungan dengan dondang sayang yang berkembang di Melaka dan canggung di Perlis. Dalam Tarian kuda kepang pula terdapat alat-alat muzik paluan yang dibunyikan mengikut rentak kuda berlari. Tarian kuda kepang ini berkembang di Johor di kalangan masyarakat Melayu keturunan Jawa.
2.      SENI GERAK
Seni gerak mengandungi segala gerakan tubuh badan yang mempunyai unsur-unsur keindahan . Seni ini dapat dilihat pada gerakan tangan , kaki , badan , mata dan anggota badan yang lain. seni gerak orang melayu dapat dibahagikan kepada dua jenis iaitu seni tari dan seni drama.
SENI TARI
Seorang ahli sejarah tarian dan muzik Jerman bernama C. Sachs telah memberikan definisi seni tari sebagai gerakan yang berirama. Seni tari adalah pengucapan jiwa manusia melalui gerak-geri berirama yang indah. Dalam kebudayaan Melayu terdapat berbagai-bagai jenis tarian , sama ada tarian asli ataupun tarian yang telah dipengaruhi oleh unsur-unsur moden. Menurut Jaafar Mampak, tarian Melayu asli terbahagi kepada dua jenis. Pertama, tarian yang bercorak lemah lembut seperti tarian Mak Inang dan Siti Payung. Kedua , tarian rancak yang merupakan hasil daripada pengaruh tarian Portugis seperti tarian Ronggeng , Serampang Laut dan Singapura Dua.
  Seni tari boleh dikategorikan dalam berbagai-bagai jenis. Antara pembahagian yang boleh dibuat terhadap seni tari melayu adalah seperti berikut :
  1. Tarian-tarian yang bercorak seni tari istana yang dipersembahkan pada waktu perkahwinan , pertabalan , istiadat menyembah dan sebagainya. Tarian-tarian ini termasuklah tarian siti payung , mak inang , asyik , gamelan dan sebagainya.
  2. Tarian-tarian yang memperlihatkan wujudnya pengaruh Arab dan Parsi seperti tarian rodat , hadrah dan sebagainya.
  3. Tarian rakyat seperti dondang sayang , ronggeng , joget dan sebagainya.
  4. Tarian yang khusus ditarikan oleh kaum lelaki sahaja seperti tarian kuda kepang , tarian labi-labi , tarian berdayung dan sebagainya.
TARIAN ASLI
Tarian ini dicipta berdasarkan lagu-lagu Melayu asli dengan mengikuti irama lagu-lagu melayu asli yang tertentu. Seni tari jenis ini ialah tarian yang dicipta daripada lagu Makan Sirih , Gunung Banang , Sapu Tangan , Asli Selendang , Bentan , Telani , Asli Abadi dan sebagainya.
TARIAN ASYIK
Tarian ini adalah sejenis tarian klasik dari daerah-daerah di Kelantan yang ditarikan di istana raja-raja Kelantan dan Patani. Asyik bererti kekasih , oleh itu tarian ini bersesuaian dengan gerak-geri bersifat lemah lembut dan penuh dengan ketertiban. Tarian ini dimulai dengan sepuluh orang penari masuk ke dewan tarian terlebih dahulu, lalu duduk bersimpuh dengan tertibnya. Kemudian tampillah Puteri Asyik dan mereka pun mula menari. Tarian asyik ini ditarikan dalam upacara perkahwinan dan pada malam berinai. Tiga alat muzik penting yang digunakan ialah rebab , gambang dan gedombak.
TARIAN AYAM DIDIK
Tarian ini dikatakan berasal daripada gerakan berlaga ayam, iaitu sejenis sukan yang diminati oleh orang Melayu pada masa lampau. Tarian ini dicipta oleh ahli tarian di negeri Perlis. Tarian ini diringi dengan nyanyian lagu ayam didik.
TARIAN BALAI
Tarian ini berasal dari daerah-daerah di negeri Terengganu. Tarian ini ditarikan oleh gadis-gadis kampung dalam bentuk simbolik seperti melakukan pekerjaan sawah. Penari-penari akan menari mengelilingi balai, iaitu sejenis payung panjang berwarna-warni yang diletakan dibawah gelanggang.
CANGGUNG
Kata tanggung berasal dari bahasa Thai yang bererti menari. Tarian Canggung berasal dari negeri Perlis dan menjadi popular di negeri Kedah, Perlis dan Pulau Pinang. Tarian ini dicipta oleh seorang ahli tarian dari Kangar selepas perang dunia kedua.
TARIAN SITI WAU BULAN
Tarian ini berasal dari negeri Kelantan, ditarikan pada musim menuai sempena dengan temasya dan permainan wau.
TARIAN CINTA SAYANG
Tarian ini berasal dari yang menggambarkan keluarga nelayan. Tarian ini menunjukan bagaimana keluarga nelayan mengucapkan selamat jalan kepada para nelayan sebelum turun ke laut.
TARIAN DABUS
Tarian ini berasal dari negeri Perak dan mengandungi unsur keagamaan yang berkait dengan kepahlawanan Sayidina Ali.
TARIAN GAMBUS
Tarian ini berasal dari daerah Kuala Kangsar Perak. Tarian ini dikatakan telah dikenali di daerah ini sejak 50 tahun yang lalu, dipercayai berasal dari negeri Arab.
TARIAN INAI
Tarian ini adalah tarian istana yang ditarikan semasa majlis berkhatan anak pembesar-pembesar istana. Ianya dipersembahkan kepada kanak-kanak ini semasa mereka hendak dikhatankan dan duduk di atas pelamin.
TARIAN JOGET
Tarian ini diperngaruhi oleh kebudayaan Portugis dan dijadikan sebagai tarian sosial serta diterima oleh berbagai-bagai kaum di Malaysia.
TARIAN KUDA KEPANG
Tarian ini ialah tarian warisan budaya Jawa yang terpengaruh dengan Islam. Ciri kejawaan itu jelas pada pakaian penari-penari dan unsur Islam jelas semasa cerita itu ditarikan iaitu mengisahkan peperangan Rasullah dan para sahabat.
TARIAN MAK INANG
Pada zaman kesultanan Melayu Melaka, tarian Mak Inang sangat popular ditarikan pada hari-hari kerja kahwin tetapi kini ditarikan majlis-majlis sosial.
TARIAN ZAPIN
Tarian ini dikatakan berasal dari negeri Parsi . Ianya diringi dengan alat-alat muzik seperti dabus dan marwas. Pakaian yang digunakan ialah baju Melayu.
  • DRAMA TRADISOANAL
Drama tradisional mengikut pendapat Amin Sweeney ialah karya drama yang dianggap oleh masyarakat yang mewarisinya sebagi hasil yang diwarisi secara turun temurun dari generasi yang lampau. Antara seni drama tradisinal yang popular dalam masyarakat melayu adalah seperti berikut :

MAIN PUTERI
Drama tradisinal ini berkembang dengan popular sekali didesa-desa di negeri Kelantan. Drama ini digunakan untuk mengubati orang sakit. Tok Puteri memainkan peranan sebagai pawang atau bomoh untuk mengawal penyakit yang dibawa oleh roh-roh atau semangat jahat.
MAKYONG
Makyung ialah drama tradisional yang popular di negeri Kelantan. Drama ini berasal daripada ritual memuja roh datuk nenek. Permainan Makyong ini dikatakan berasal dari negeri Patani.
MENORA
Menora ialah sejenis drama tradisioanal Melayu yang dikatakan dipengaruhi oleh seni darama Siam. Menora telah menjadi popular di negeri Perlis, Kedah dan Kelantan.
WAYANG KULIT
Wayang kulit merupakan sejenis drama tradisional Melayu yang terbahagi kepada beberapa jenis seperti wayang golek, wayang wang, wayang topeng dan wayang beber. Kini hanya wayang kulit yang masih kekal.
3.      SENI RUPA

Seni rupa dalam masyarakat melayu meruapakan ciptaan yang megandungi unsur-unsur seni yang dihasilkan oleh orang melayu melalui ukiran, anyaman, tenunan, seni bina dan sebagainya.

 SENI UKIR
Seni Ukir dalam masyarakat melayu mempunyai hubungan rapat dengan hasil-hasil kerja tangan yang dicipta melalui kepandaian mengukir. Ciri-ciri ukiran itu dihasilkan melalui ukiran timbul, ukiran terbenam, ukiran tebuk dan ukiran timbus. 
SENI KRAFTANGAN
Seni kraftangan adalah hasil seni yang dicipta untuk digunakan, tetapi digubah dengan memasukkan unsur-unsur seni untuk memberi bentuk yang indah dan menarik hati. Penciptaan kraftangan itu memerlukan keahlian dan kecekapan dalam penggunaan bahan-bahan asas yang teratur sejak dari proses awal hinggalah sesuatu hasil kraftangan itu tercipta. Proses penciptaan kraftangan tersebut memerlukan daya estetika demi untuk memberikan reka bentuk yang indah dan menarik.
SENI TEMBIKAR
Seni tembikar merupakan sejenis hasil kraftangan orang melayu yang menggunakan tanah liat yang dibakar dan digilap. Reka bentuknya dicipta berdasarkan fungsi sesuatu barang itu seperti periuk nasi, bekas air, bekas mennyimpan makanan seperti jeruk, pekasam dan lain-lain. Perusahaan membuat tembikar secara tradisional ini masih dilakukan oleh orang melayu khususnya di Sayung, Perak.
SENI ANYAMAN
Menganyam merupakan proses menjalin jaluran daun, lidi, rotan, akar, buluh dan beberapa jenis tumbuhan yang lain. Beberapa jenis reka bentuk kraftangan dihasilkan melalui anyaman demi untuk mencipta sesuatu alat keperluan harian contohnya menghasilkan topi, tudung saji, bakul dan mengayam tikar untuk mengalas tempat duduk.
TEKATAN
Tekatan dikenali juga dengan nama suji dan merupakan sejenis seni kraftangan yang popular dalam masyarakat Melayu. Tekatan menggunakan kain baldu sebagai kain dasar dan bentuk hiasannya mengambarkan reka bentuk bunga dan pohon-pohon. Tekatan digunakan untuk membuat kasut , kipas, muka bantal dan balutan tepak sirih. Hasil tekatan ini dibuat bagi tujuan upacara tertentu seperti dijadikan hiasan pada upacara perkahwinan , upacara berkhatan , pertabalan raja dan upacara-upacara kebesaran yang lain.
SENI TENUNAN
Seni tenunan terbahagi kepada tiga jenis iaitu tenunan biasa, tenunan ikat celup dan songket. Tenunan songket merupakan tenunan yang paling lengkap dan cantik. Tenunan ini merupakan satu perkembangan daripada proses tenunan biasa. Sementara tenunan ikat pula dipercayai berkembang di istana raja-raja. Penciptaannya lebih rumit terutama dalam proses menyongket solek atau menyolek. Jenis kain tenunan ini dikenali juga dengan panggilan kain benang emas.
SENI BATIK
Batik merupakan seni tekstil yang dihasilkan melalui proses menerapkan lilin dan mencelup kain. Pada permulaannya kain putih yang hendak diproses menjadi kain batik itu direbus dan dikeringkan. Kemudian kain batik itu diterapkan dengan blok tembaga yang dicelupkan ke dalam lilin cair yang dipanaskan. Selepas diterapkan kain itu akan diwarnakan dengan cara celupan yang berperingkat-peringkat. Selanjutnya kain itu direbus dan dibasuh sehingga bersih lalu dijemur hingga kering.
SENI TEMBAGA
Seni tembaga merupakan satu lagi kraftangan orang Melayu. Seni ini diperkenalkan dengan tujuan untuk mencipta alat-alat daripada tembaga yang cantik dan indah bentuknya. Alat-alat yang dicipta dalam proses seni tembaga ini digunakan dalam upacara-upacara adat khususnya di istana raja-raja melayu seperti alat-alat pertabalan raja, upacara perkahwinan atau upacara diraja yang lain. Alat-alat tembaga ini digunakan sebagi hiasan atau perkakasan kegunaan dirumah seperti dulang, tempat letak sireh, sudu, tempat bara, bekas perenjis air mawar dan sebagainya.
SENI BINA
Reka bentuk seni bina Melayu lahir daripada bentuk rumah-rumah yang menjadi tempat penginapan orang Melayu. Walaupun terdapat berbagai jenis rumah melayu namun struktur binaanya tdiak banyak berbeza . Reka bentuk rumah-rumah Melayu juga memperlihatkan wujudnya unsur-unsur seni bina dari daerah-daerah lain di alam melayu atau dari luar alam Melayu. Contohnya rumah-rumah orang Melayu di negeri Sembilan adalah bercorak seni bina rumah Minangkabau.
PERMAINAN RAKYAT

Dalam tradisi lisan, permainan ini yang dikenali juga sebagai pemainan masa lapang atau sukan rakyat termasuk dalam kategori "folk games". Permainan ini bukan sahaja berfungsi sebagai alat hiburan tetapi juga berperanan dalam aktiviti sosial untuk menyerikan majlis-majlis keramaian, perkahwinan dan sebagainya.
Permainan masa lapang dan sukan rakyat yang lahir di dalam kebudayaan Melayu, malah dalam kebudayaan semua dikatakan sebagai satu cara untuk pelepasan emosi manusia itu sendiri.
Di samping berfungsi di atas permainan tradisional dalam masyarakat Melayu memainkan beberapa peranan yang lain seperti bertindak sebagai alat komunikasi di kalangan anggota masyarakat.
Permainan masa lapang bagi orang Melayu boleh dibahagikan kepada permainan untuk orang dewasa dan permainan untuk kanak-kanak.
Permainan untuk orang dewasa termasuklah permainan wau, sepak raga, gasing, menyabung ayam, laga buah keras, congkak, berlaga kerbau dan lain-lain.
Permainan untuk kanak-kanak pula termasuklah main telaga buruk, guli-guli, main galah, main kapal terbang, cina buta, ketup atau sembunyi dan lain-lain.
PERMAINAN GASING
Gasing ialah permainan rakyat yang popular dalam kalangan orang Melayu. Di negeri-negeri Pantai Barat gasing diperbuat daripada kayu, sementara di negeri-negeri Pantai Timur khususnya di negeri Kelantan gasing diperbuat daripada timah.
Permainan gasing dapat dibahagikan kepada tiga jenis iaitu :
  1. Permainan untuk bersuka ria
  2. Pertandingan gasing
  3. Permainan untuk pertunjukkan.
PERMAINAN LAYANG-LAYANG ATAU WAU
Permainan layang-layang atau wau mempunyai hubungan dengan kepercayaan kepada semangat padi. Permainan wau dipercayai telah dilakukan sebagai satu cara untuk memohon maaf kepada semangat padi yang telag menjelma menjadi seorang anak gadis.
Permainan wau diadakan sebagai hiburan untuk pelbagai peringkat umur. Permainan wau juga diadakan untuk pertandingan. Pertandingan yang melihat bentuk kecantikannya diukur dari segi keindahannya kepada bentuk, corak ciptaan, warna, keaslian ciptaan dan ukirannya.
PERMAINAN CONGKAK
Permainan congkak ialah sejenis permainan Melayu tradisional yang digemari oleh kaum wanita dan kanak-kanak. Permainan ini dipercayai mula berkembang di istana iaitu dalam kalangan wanita-wanita istana dan para pembesar. Mereka bermain permainan ini untuk menghiburkan hati pada waktu lapang dan juga bagi mengisi masa yang banyak terluang.
Permainan congkak menggunakan dua bahan, iaitu papan congkak dan buah congkak. Kadang-kadang sebagai ganti papan congkak, lubang-lubangnya dibuat di atas tanah. Sementara biji-biji congkak pula ialah guli-guli kaca, buah getah, biji saga, batu-batu kecil dan sebagainya. Setiap papan congkak  hanya boleh dimainkan oleh dua orang sahaja.
MENYABUNG AYAM
Salah satu permainan bercorak pertandingan yang digemari oleh masyarakat Melayu tradisional ialah permainan menyabung binatang-binatang ternakan seperti lembu, kerbau dan ayam. Permainan sabung ayam misalnya diadakan sempenan sesuatu upacara tertentu yang disambut oleh masyarakat Melayu tradisional seperti ketika menyambut kelahiran bayi, perkahwinan dan pertabalan raja.
Permainan manyabung ayam melibatkan pertaruhan wang atau sejenis perjudian. Tetapi pemilik ayam boleh mendapat bayaran tanpa turut serta dalam pertaruhan menyabung dengan cara menyewakan ayamnya jika ayamnya itu telah terkenal sering beroleh kemenangan.
SEPAK RAGA
Sepak raga ialah sejenis permainan yang menggunakan bola yang diperbuat daripada rotan yang dianyam dua hingga tiga lapis. Sepak raga dimainkan oleh beberapa orang pemain yang berdiri membentuk bulatan. Permainan ini dimulai dengan salah seorang pemain melambungkan bola kepada salah seorang pemain yang lain. Pemain lain akan menimbang bola tersebut sebelum diambil oleh orang lain.



ALAM SEMULAJADI DARI KACA MATA PENULIS

Alam semula jadi telah menjadi sumber inspirasi seniman sejak zaman berzaman. Kesempurnaan ciptaan itu dihayati dan dipersembahkan menerusi pelbagai persepsi dan pendekatan yang berbeza mengikut agama, bangsa, kebudayaan dan kepercayaan. Tugas seniman sememangnya menghayati dan menganalisis sesuatu seperti alam lalu menterjemahnya mengikut kepekaan, kepakaran dan pendekatan masing-masing. Justeru itu alam semulajadi menjadi inspirasi seniman yang berterusan.
            Pameran Terbuka 1991 di Balai Lukis Negara yang bertema “Warisan Alam Semulajadi” melukiskan kepekaan pelukis terhadap alam dalam beberapa pendekatan. Dua pendekatan utama dapat dihayati. Pertama, pelukis menggambarkan keindahan alam semulajadi menerusi landskap yang natural dan mujarad. Kedua, pelukis merakam perhubungan warisan alam semula jadi dengan sikap, sifat, serta perbuatan manusia yang positif dan yang negatif. Kebaikan dan keburukan manusia mempengaruhi keadaan warisan alam semulajadi.
            Tema landskap yang menggambarkan keindahan alam semulajadi telah mendapat tempat dalam karya pelukis tempatan sejak dekad 1930-an lagi, khususnya dalam karya pelukis cat air Pulau Pinang. Pada waktu itu, pengolahan karya banyak berdasarkan tradisi seni Barat dan catan landskap Cina di samping kebolehan semulajadi pelukis Abdullah Ariff menangkap kesan cahaya dan bayangan dalam landskap yang melukiskan kepintaran dan kefahamannya terhadap prinsip seni lukis. Sementara itu, perhubungan karya Yong Mun Sen, Tay Hooi Keat, Kuo Ju Ping dan Khaw Sia dengan tradisi kaligrafi dan catan landskap Cina dapat dihayati dengan jelas menerusi kesontanan sapuan berus masing-masing.
Era merakam alam yang agak natural itu berubah mengikut zaman dan kemajuan. Pendidikan mengubah persepsi pelukis terhadap alam. Landskap mujarad dan separa-mujarad lahir pada sekitar dekad-dekad 1950-an, 1960-an dan berkekalan hingga ke hari ini. Karya Khoo Sui Hoe “ Banjir Hingga Pokok Kelapa” atau “Pemandangan Pohon” oleh Tay Hooi Keat (1959), “Sawah Padi” oleh Yeoh Jin Leng (1963), “ Pemandangan 3” oleh Abdul Latif Mohidin (1967), dan “Siri Terengganu Bil.9” oleh Joseph Tan (1980) melukiskan alam dalam pengolahan yang digayakan. Cat minyak pula menggantikan cat air sebagai bahan dalam kebanyakkan karya.
Kedua-dua pendekatan tersebut juga dapat dihayati dalam beberapa buah karya di Pameran Terbuka 1991 itu. Karya cat air Abdul Ghani Ahmad berjudul “ Warisan Alam Siri 3”, “Bertam” oleh Md. Sani Md. Dom, “Flora dan Fauna”, “Klang Gate” oleh Shamsuddin Mansor, “Pond and Beauty” oleh Wong Seng Yin, dan “ Dari Puncak Gunung Jerai 11” oleh Rohizad Shaari mengembalikan ingatan nostalgic kita kepada keindahan karya para pelukis cat air Pulau Pinang seperti “ Sinar Mentari di Denai Hutan”(1956) oleh Abdullah Ariff. Semangat, cinta dan kasih terhadap keindahan alam semulajadi tempatan meresap ke dalam jiwa dan sanubari masing-masing.
Sementara itu, pengolahan yang lebih mirip pada tradisi catan landskap Cina dihayati dalam karya yang berjudul “ Longevity Nature in Peach” oleh Grace Tan siew Leng dan “ Hill  Top Scane” oleh Tang Tuck Kan. Karya Grace yang bersifat monumental merakamkan keharmonian flora dan fauna, manakala Tang Tuck Kan pula mendekati alam semulajadi menerusi kaedah ala catan. Ciri-ciri yang ketara ialah kespontanan sapuan berusnya dan pemilihan warna yang membentuk ruang dengan kaedah perspektif atmosfera, serta pengolahan komposisi satu sudut yang membiarkan ruang kosong menguasai sebahagian karya. Pengolahan komposisi yang seperti inilah yang dipraktikkan oleh pelukis-pelukis besar Dinasti Sung selatan (1128-1279) seperti Ma Lin dalam karya mereka yang berkembang kea rah romantik. Yang berbeza dari segi bentuk, karya Tang Tuck Kan dipersembahkan berbingkai mengikut tradisi galeri dan catan Barat. Kespontanan sapuan berus dalam karya Grace dan Tang Tuck Kan ini ternyata dapat dihubungkan dengan tradisi kaligrafi dan catan landskap Cina, karya yang dianggap menjadi pembuka jalan kepada penghayatan alam yang lebih berkesan.
Di samping catan dan karya yang berbentuk dua dimensi yang lain, penglibatan pemahat arca dalam Pameran Terbuka 1991 itu juga tidak menghampakan. Pameran tersebut menggambarkan kepekaan pelukis terhadap warisan alam semulajadi menerusi dokumentasi keindahannya dan kesan perbuatan manusia terhadapnya. Dari segi stail, ternyata beberapa buah karya dapat diletakkan sebagai satu kesinambungan gaya seni lukis moden tempatan, khususnya yang merujuk tradisi cat air Pulau Pinang dan kecenderungan terhadap stail abstrak ekspresionisme. Sementara itu, penyertaan yang menampilkan pengolahan bahan yang dan teknik fotografi ternyata amat sedikit. Dunia seni lukis moden tempatan masih dikuasai oleh karya dengan bahan yang konvensional.         
    
Bibliografi
Muliadi Mahamood (1995). Seni Lukis Dalam Peristiwa. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka   
        Kementerian Pendidikan Malaysia

Saturday, October 9, 2010

PENULISAN ESEI: Pandangan Terhadap Pendidikan Seni Visual Di Sekolah

Kurikulum Pendidikan Seni Visual sering menerima perubahan demi perubahan. Sebagai seorang pendidik, guru seharusnya berupaya untuk menilai atau memeriksa semula bidang-bidang seni tertentu supaya sentiasa  selari dengan keperluan semasa, lebih-lebih lagi jika kita berupaya menilai semula pemikiran kita terhadap kemungkinan apa yang kita ajar nanti ( Mohd Johari Ab Hamid et al, 2006:22). Pemikiran itu bersangkutan dengan kepercayaan, apakah fungsi seni dalam pendidikan pelajar dan bagaimana seni itu perlu diajar? Kita sering melihat bahawa pengajaran Pendidikan Seni Visual itu hanya tertumpu kepada bekerja dengan alat dan bahan sahaja. Kita juga mempersoalkan peranan guru hanya sebagai penyedia bahan dan sumber tetapi kurang mengajar. Umum mengetahui bahawa melalui subjek Pendidikan Seni Visual,  banyak yang boleh disediakan untuk perkembangan pelajar. Kita juga sedar bahawa pembelajaran artistik itu itu bukan setakat berkebolehan menggunakan alat dan bahan semata-mata, tetapi kita membuat rumusan bahawa peranan guru lebih jauh daripada itu. Pendidikan Seni Visual bukan hanya sebagai pembekal alat, bahan dan sumber tetapi juga turut menstabilkan emosi para pelajarnya. Contohnya, melalui ilmu yang disampaikan oleh pensyarah Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) kepada pelajar-pelajarnya, diharap mereka akan mengaplikasikan ilmu tersebut di sekolah-sekolah kelak. Tetapi sejauh manakah ilmu yang telah dikonseptualkan itu akan dilaksanakan di peringkat sekolah? Berbanding dengan sambutan masyarakat sekeliling terhadap mata pelajaran lain yang lebih diutamakan seperti Matematik dan Sains. Malangnya, mata pelajaran Pendidikan Seni ini diletakkan sebagai pelajaran yang tidak berkepentingan.
            Keadaan ini memberi tekanan kepada guru bagi merealisasikan konseptual pendidikan seni yang sebenarnya. Lebih-lebih lagi bahan-bahan dan sumber sokongan untuk melaksanakan pelajaran ini secara yang lebih berkesan memerlukan sumbangan dan peruntukan yang agak tinggi berbanding dengan mata pelajaran kemanusiaan dan sains yang lain. Persoalannya, sejauh manakah sumbangan pihak swasta atau badan bukan kerajaan (NGO) lain sanggup membantu pelajar dan  sekolah bagi menjayakan perlaksanaan mata pelajaran ini. Di negara kita usaha begini belum diusahakan secara menyeluruh. Usaha guru untuk memastikan keistimewaan mata pelajaran ini tinggal usaha sahaja jikalau tidak mendapat sokongan sama ada dalam bentuk moral atau kewangan daripada pihak-pihak berkenaan.
            Kita percaya bahawa dengan perkembangan dunia semasa dan perubahan keperluan dalam pembangunan negara bangsa kita, sumbangan mata pelajaran Pendidikan Seni Visual adalah relevan dengan keperluan itu. Masyarakat seharusnya mempunyai pemikiran bahawa memberi pendidikan kepada anak-anak mereka bukan hanya setakat duduk belajar menerima ilmu dan kemahiran Matematik, Sains dan Teknologi sahaja. Pendidikan yang harus diterima oleh pelajar adalah bertujuan untuk mengembangkan potensi menyeluruh anak-anak mereka secara optimum bukan sahaja menjurus kepada mata pelajaran utama, juga melalui mata pelajaran pelengkap yang lain termasuk mata pelajaran yang berbentuk kesenian.
Dalam sistem persekolahan kita, Pendidikan Seni Visual adalah mata pelajaran wajib daripada tahun satu sekolah rendah hingga ke tingkatan tiga sekolah menengah. Ia juga merupakan mata pelajaran elektif untuk sekolah menengah atasan. Sukatan pelajaran Pendidikan Seni Visual telah disemak semula dan merupakan yang terbaik untuk dilaksanakan di sekolah-sekolah. Ia mampu memberi persediaan awal untuk syarat masuk ke pusat pengajian tinggi khususnya dalam bidang-bidang yang relevan seperti bidang yang memerlukan kemahiran melukis dan kreativiti yang tinggi iaitu seperti seni binaan, pereka dan sebagainya. Banyak universiti telah menawarkan kursus-kursus yang memerlukan kemahiran dalam bidang seni ini.

Sebenarnya, dalam dunia pekerjaan banyak bidang yang memerlukan kemahiran dalam seni ini apatah lagi jika dicantumkan kebolehan pelajar dengan mata pelajaran Sains dan Teknologi. Seni, Sains dan Teknologi adalah gabungan yang wujud dalam kehidupan era moden kini. Malangnya, ada pihak yang tidak pernah peka tentang perubahan paradigma ini sengaja mengenepikan mata pelajaran ini untuk pelajar-pelajar aliran sains. Dasar yang diamalkan sekarang ialah konsep sijil terbuka. Malah daripada hasil kajian menunjukkan banyak sekolah menengah yang tidak memasukkan mata pelajaran Pendidikan Seni Visual dalam jadual waktu rasmi atas alasan tidak cukup waktu belajar. Pelajar-pelajar yang membuat pilihan Pendidikan Seni Visual sebagai elektif, terpaksa belajar sendiri di luar waktu tanpa diurus secara rasmi, disamping bergantung kepada kesanggupan guru untuk mengajar lebih masa dan selalunya pada waktu petang.
            Kita juga bersetuju Pendidikan Seni Visual ini merupakan sebahagian kecil daripada mata pelajaran yang memberi peluang kepada pelajar mengeksploitasi emosinya sebagai sebahagian daripada sumber kandungan yang menggalakkan keupayaan imaginasi. Pendidikan senilah yang memberi peluang kepada pelajar sebagai tempat pelarian sementara daripada kurikulum yang penuh dengan peraturan yang ditetapkan oleh pihak berkuasa, tempat yang didominasi dengan keriuhan kata-kata, huruf dan angka. Menerusi pendidikan seni juga pelajar digalakkan meneroka visi peribadinya melalui kerjanya yang merupakan coretan peribadi. Sekolah penuh dengan peraturan-peraturan yang ditentukan oleh kurikulumnya, yang merupakan arahan guru. Ia merupakan satu sahaja jalan penyelesaian bagi sesuatu persoalan. Dengan hanya satu jawapan yang betul bagi setiap soalan. Apa yang sangat diperlukan oleh pelajar ialah ruang, tempat dan yang lebih diperlukan lagi adalah kebenaran daripada pihak yang lebih berkuasa membenarkan mereka membuat sesuatu mengikut rentak mereka, membenarkan mereka menghadapi cabaran, mengikut tempoh dan menghadapi erti kegagalan ( Mohd. Johari Ab Hamid et al, 2006:23).  
Bibliografi  

Mohd. Johari Abd Hamid et al. (2006). Metodologi Pendidikan Seni Visual . Tanjung Malim . Universiti Pendidikan Sultan Idris.
roskangjailani@gmail.com